Wednesday, February 28, 2007

Al-Aqsa Mungkin Hanya Tinggal Nama !

Tiada bukti Al-Aqsa tinggalan tamadun Yahudi

Adaptasi dari Meor Hisham Zulkifli

SEJAK 1967, Israel melancarkan gerakan merampas dan menggali kawasan berhampiran Tanah Haram di Baitulmaqdis, lokasi menempatkan Masjidil Al-Aqsa dan Kubah Batu serta beberapa bangunan bersejarah Islam, kononnya bagi membuktikan ketuanan mereka di bumi Palestin selain mengesahkan kemunculan Kerajaan Tuhan pada akhir zaman.


Sekurang-kurangnya 12 proses cari gali arkeologi besar-besaran sama ada terang-terangan atau sulit, dijalankan di Kota Lama Baitulmaqdis yang menyaksikan struktur Al-Aqsa semakin lemah dan di bawah tapak masjid itu kini sudah mempunyai terowong besar seluas 450 meter yang kini dijadikan biara Yahudi.

Tanpa menghiraukan bantahan dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan selepas menyedari kelemahan negara Islam untuk bertindak, rejim Zionis yang kini dipimpin Perdana Menteri, Ehud Olmert, terus-terusan mencemarkan kesucian kawasan ibadat agama samawi itu, iaitu agama Yahudi asal, Kristian dan Islam.

Tidak ramai mengetahui kawasan Tanah Haram Baitulmaqdis, masih menjadi lokasi ibadat untuk umat Islam, tanah suci Islam yang ketiga selepas Makkah dan Madinah, manakala di satu bahagian daripada Aqsa masih wujud gereja Kristian manakala di Tembok Barat yang lebih dikenali sebagai Tembok Ratapan atau Wailing Wall serta di sebahagian bawah tanah Al-Aqsa, menjadi tempat ibadat penganut Yahudi.

Sejak beberapa minggu lalu, Israel merancakkan kembali usaha mereka mencari kononnya biara Raja Sulaiman (King Solomon) di atas di Gunung Moriah atau Temple Mount bersamaan Tanah Haram Baitulmadis. Mereka juga berhasrat mendirikan semula biara ini yang menurut sejarah, sudah dua kali dirobohkan Raja Roman dan Pemerintah Babylon.

Turut dicari adalah satu batu hampar, yang dikenali sebagai covenant yang tertulis di atasnya perjanjian lama atau menurut sejarah, batu bertulis mengandungi catatan wahyu. Apa yang menarik perhatian, usaha mengesan dan proses arkeologi yang dijalankan sejak 1967, kebanyakannya hanya menghasilkan penemuan artifak Islam termasuk yang terbaru tahun lalu, sebuah dewan solat, suatu yang cuba dirahsiakan Yahudi.

Menurut pendapat pendeta Yahudi, biara Nabi Sulaiman ini dibina berdasarkan simbol badan manusia. Pelan lantai seni binanya termasuk susun letak peralatannya menggambarkan sebagai Kuil Manusia yang merangkumi tiga tokoh agama Yahudi iaitu Pendeta Agung, Nabi Yaakob dan Penyelamat (Kristian merujuk penyelamat ini sebagai kemunculan semula Jesus atau Isa – manakala ada sesetengah pendapat ulama Islam menyatakan, penyelamat itu kedatangan Nabi Muhammad ke dunia).

Memetik daripada sebuah laman web kumpulan pelobi terkemuka Yahudi, biara itu menggambarkan ketiga-tiga tokoh berkenaan menerusi pelan lantainya dengan satu tokoh berada di atas tokoh yang lain.

Ukuran dan rupa keadaan kuil itu dinyatakan dalam Kitab Tanach (Perjanjian Lama) Yahudi dan pada dasarnya, pelbagai pendeta Yahudi, Kristian dan sekular merujuk kepada bangunan empat segi yang mempunyai tiga bilik berlapis yang dibina di bahagian utara, selatan dan barat dengan ruang lapang pintu masuk. (Sila rujuk lakaran pelan lantai Biara Sulaiman).

Bagi Yahudi, pelan atau dikenali sebagai Tabnit rumah ibadat itu adalah selepas David (Nabi Daud) mendapat ilham Ilahi mengenainya. Malah sebelum itu, Moses (Nabi Musa) mendengar arahan lisan Ilahi berkaitan dengan Tabnit ini yang memberi maksud membina sebuah struktur atau rumah.

Riwayat lisan Yahudi menyatakan, Jacob (Nabi Yaakob yang menjadi tunggak kepada 12 keturunan Yahudi) pernah bermimpi mengenai rumah ibadat itu. Di dalam mimpinya, beliau melihat malaikat turun dari tangga dan dia berkata, `ini tidak lain dan tidak bukan adalah rumah Tuhan’.

Biara itu dibina berdasarkan model tubuh badan manusia yang tidur dengan bahagian utama ditinggikan seperti kepala di atas bantal. Dari situlah, pada pandangan Yahudi, biara King Solomon dibina di atas Gunung Moriah yang kini dikenali sebagai Tanah Haram oleh Arab dan Temple Mount oleh Yahudi.

Puak Yahudi turut mendakwa bahawa sebahagian daripada kuil itu adalah satu kawasan dinding yang menjadi penyokong kepada struktur masjid Al-Aqsa masa kini termasuk kawasan Tembok Ratapan.

Selain itu, Zionis turut berusaha mencari `The Lost Covenant’ batu bersurat perjanjian lama yang dijadikan kitab oleh Yahudi masa lampau. Mengikut sejarah, kaum Yahudi sebelum ini menggunakan batu bersurat itu sebagai simbol bala tenteranya dan kejayaan menemukan Covenant ini dianggap membolehkan Yahudi masa kini berjaya mengatasi segala musuhnya.

Gerakan Zionis yang tertumpu kepada usaha meyahudikan seluruh Baitulmadis serta mengubah wajah kota suci itu dari aspek geografi, demografi, bangunan dan status berbilang agama di situ, menyaksikan usaha berterusan menghancurkan kawasan Islam.

Projek menggali artifak kini dilakukan di pintu Mugarabah, yang pada asalnya adalah perkampungan Islam di Kota Lama Baitulmaqdis. Israel mendakwa tindakan itu bertujuan membaik pulih laluan pejalan kaki yang menghubungkan kaki bukit Moriah ke puncak bukit yang kini menjadi kompleks Al-Aqsa.

Sejak 1967, tindakan Israel menggali kawasan di sekitar Al-Aqsa menyaksikan 70 kompleks perumahan Islam digali secara haram dan selepas itu, kawasan terbabit dirikan lebih 30 kawasan perumahan baru untuk Yahudi.

Walaupun semua usaha menggali ini, apa yang jelas mereka hanya menemui bukti kerajaan Islam, membuktikan usaha dunia Arab dan ketetapan PBB bahawa Baitulmaqdis adalah hak umat Islam.

Hanya perpaduan dan kerjasama negara Islam serta golongan Kristian ortodoks dapat menyelamatkan kota suci agama sawawi ini daripada kedurjanaan Israel.


Bangkitlah sahabat dan sahabiyah dari lenamu....

No comments: