**************************************************************************
Pagi ini seperti yang telah ditakdirkan aku pergi memenuhi 'appointment' dengan Hospital Tengku Apuan Rahimah (HTAR)...Alhamdulillah hari ini aku dapat sampai awal terus masuk bilik 44 lalu 'nurse' yang berada disana memberikan nombor giliran menunggu. Alhamdulillah 6 orang lagi giliranku jadi insyAllah tidak lama aku disini. Sambil-sambil menunggu aku melihat keadaan sekeliling yang penuh dengan manusia yang ada tujuan tersendiri. Masing-masing resah gelisah menunggu giliran untuk dipanggil. Teringat aku pada usrah yang lepas mengenai padang mahsyar dimana manusia akan dikumpulkan sementara menunggu giliran untuk diadili dihadapan Allah. Dalam keadaan ramai manusia disana sedang menunggu giliran tiba-tiba ada satu golongan terus berlalu tanpa dihisab. Kemudian semua tertanya-tanya siapakah mereka yang istimewa itu sehinggakan tidak dihisab oleh Allah s.w.t. Lalu dikabarkan bahawa mereka adalah golongan yang mendapat redha Allah dan mereka pula redha pada Allah. Itulah hari pengadilan Allah s.w.t.
"Kekuasaan di hari itu ada pada Allah, Dia memberi keputusan di antara mereka. Maka orang-orang yang beriman dan beramal saleh adalah di dalam syurga yang penuh kenikmatan." Al-Hajj (56).
Tersentak hatiku bilamana ku digambarkan perkara tersebut. Dihadapan sana, kaunter pertanyaan sentiasa penuh dengan pelanggaan yang bertanya bilakah giliran mereka padahal mereka mengetahui giliran mereka lantaran nombor giliran sudah diberikan pada mereka. Aku terus gelisah menunggu giliran untuk dipanggil. Sebenarnya aku takut JARUM!!! Selepas 40 minit menunggu nomborku dipanggil. Terusku bingkas masuk ke bilik 44, disana ada seorang 'nurse' dan seorang doktor menunggu. Gemuruhku terus datang, duduk aje mataku tertumpu pada botol sample hari ini..."hmmm nasib baik 4 aje, ari tu 8 sample lagi teruk" bisik hatiku. Doktor pula tengah menyiapkan jarumnya sambil itu dia bertanya dari mana dan sedang bekerja atau belajar. Sambil-sambil leka Doktor terus masukkan jarum dalam uratku. Namun darah tak nak keluar, Doktor mengerutkan dahinya sambil menenangku. Lepas itu dia cucuk tempat lain pulak, darahku masih degil untuk keluar. Selepas cucukan ketiga barulah keluar darah, " hmmm lega hatiku". Namun hatiku bertanya bagaimana kelayakan seorang doktor untuk merawat seseorang pesakit? Sungguhku tidak berpuas hati dengan cara dia merawat pesakit. Namun jauh dilubuk hatiku berdoa moga perkhidmatan Hospital kerajaan dapat dipertingkatkan..."Aku tergelak sendiri apa yang berlaku sambil itu aku menginsafi keadaan yang berlaku ari ini membawa pengajaran yang sangat penting padaku...lalu dalam lubuk hatiku berdoa moga Allah merahmatiku dunia dan akhirat."